Friday, 19 August 2011

Selamat Hari Raya

Artikal dari surat khabar

Baulu ikan & Oven tin minyak tanah

Masih ingat lagi pengalaman ini? Tin minyak dipotong separuh secara simetri menegak,

diisi pasir sungai. Di atas pasir itu diletak acuan berisi tepung siap diadun. Tin itu

diletak di tungku dengan api menyala di bawahnya dan ditutup zink.

Di atas zink pula, diletak sabut yang dibakar. Ya, itulah apa yang kita boleh

saksikan apabila masuk minggu ketiga bulan puasa dahulu.

Sekarang, senario seperti itu hampir sudah tidak kelihatan. Di kebanyakan tempat,

ketuhar tradisional sudah diganti dengan ketuhar gelombang mikro.

Namun apakah yang moden itu menjanjikan baulu yang lebih sedap? Bagi saya,

tidak! Ingatlah betapa gebu dan beraromanya baulu ikan yang dimasak dengan

sabut dan kayu api dalam ketuhar tin minyak (di kampung saya, tin yang sama

digunakan untuk menakung susu getah pada luar musim raya).

Selain baulu, kuih lama kegemaran saya ialah samperit, yang buah cerinya

selalu saya hilangkan sebelum tiba hari raya.

Selain itu, ada karas, dodol, wajik, putu kacang, kuih bangkit dan

bermacam-macam. Semuanya berbeza dengan kuih sekarang yang bentuknya

sahaja nan rupawan namun rasanya hampir sama sahaja.

Selain samperit, putu kacang paling saya gemari. Putu kacang dibuat daripada

kacang hijau yang ditumbuk halus hingga jadi serbuk, dicampur gula dan

kemudian diisi mampat dalam acuan. Kemampatan akan menjamin berapa lama

putu kacang mampu bertahan tetapi ia selalunya tidak tahan lama kerana

sebelum malam raya lagi, banyak yang sudah hilang dalam mulut saya.

Selain hal kuih muih, meriahnya raya zaman itu bagi anak kampung seperti

saya, juga kerana adanya meriam buatan sendiri, sama ada meriam buluh

atau meriam tanah.

Bahan letupnya adalah karbaid yang juga sering digunakan peniaga pasar

malam waktu itu untuk menyalakan pelita di gerai hingga aroma pelita

karbaid itu mampu membuatkan saya gelisah selagi tidak keluar ke pasar malam.

Meriam buluh atau meriam tanah dimainkan oleh semua peringkat umur.

Orang dewasa bercampur gaul dengan anak remaja bermain meriam selepas

terawih hingga lewat malam. Tidak ada pula pada waktu itu sesiapa yang buta,

hilang jari, putus tangan atau putus kepala kerana main meriam karbaid.

Pada malam bulan puasa, emak ayah biasanya tidak kisah jika anak-anak termasuk

yang masih kecil pulang lewat malam. Ini kerana mereka biasanya tahu di mana

hendak cari anak-anak mereka jika ada sesuatu yang terjadi.

Selain itu, ia juga sebagai ganjaran dan galakan untuk anak-anak berseronok

selepas melakukan sesuatu yang baik, iaitu berterawih. Itulah kaedah cara

halus bagaimana emak ayah zaman itu mendidik.

Apa yang penting, aktiviti seumpama itu akan lebih menguatkan silaturahim.

Jika ia turut melibatkan golongan dewasa, maka hubungan anak muda dengan

orang dewasa akan jadi lebih mesra. Dan orang dewasa juga sekali gus akan

menjadi pemantau bagi emak ayah untuk menjaga anak-anak mereka.

Satu lagi elemen mengukuhkan kemesraan yang wujud pada zaman itu ialah

berkumpul beramai-ramai menonton TV. Ini kerana, dalam sesebuah kampung,

lazimnya hanya ada satu atau dua rumah sahaja yang mempunyai TV. Justeru,

sesiapa yang menonton, dikenakan bayaran. Ada juga yang bermurah hati beri

tayangan percuma. Video pula dikira sangat mewah.

Saya masih ingat akan ghairahnya orang kampung saya melonggok di atas

tebing bersebelahan rumah Cina Pekan Mahang untuk menonton video kung

fu menerusi tingkap, hampir setiap petang.

TV pada masa itu menggunakan kuasa bateri kerana elektrik belum lagi masuk

kampung. Beberapa hari sekali, tuan rumah bawa bateri ke kedai untuk dicaj.

Pada masa saya kanak-kanak, hanya ada dua saluran TV kita, iaitu TV1 dan TV2.

Oleh kerana tiada saingan, program hari raya juga tidak begitu menarik seperti

sekarang. Apa yang saya ingat, pada pagi raya, hanya ada rancangan Rasa Sayang

untuk kanak-kanak manakala sebelah petang, Seiring Jalan yang selalu paparkan

golongan wartawan hiburan buat persembahan.

Orang zaman itu tidak begitu pedulikan TV pada hari raya. Tidak seperti

sekarang, ramai terpaku punggung ke lantai atau sofa menanti satu demi satu

rancangan pilihan. Ziarah saudara mara dan jiran tetangga semakin diabaikan.

Atas sebab itu, bagi saya, raya dahulu tetap lebih meriah, lebih menarik

walau hidangannya hanya baulu yang dibakar di bawah sabut!

1 comment:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share foto-foto baju, kain dan accessories, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)