Monday 6 September 2010

Amalan Sunnah Sempena Aidilfitri


Oleh: Abu Ukkasyah

1. Bertakbir

“Baginda keluar pada Hari Raya Idul Fitri, maka baginda bertakbir (dalam perjalanan) hingga sampai di musalla, dan hingga ditunaikannya solat. Apabila baginda telah selesai menunaikan solat, maka baginda menghentikan takbir”. (Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf 2/165. al-Faryabi dalam Ahkamul Ideian no 59. Al-Baihaqi dalam As-Sunan al-Kubra 3/279. Lihat: Silsilah al-Ahadis as-Sahihah 170. sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)

2. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.

Dari Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

3. Mandi pada pagi hari raya.

Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah: Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) mandi sebelum berangkat mengerjakan solat `Ied. (Mukhtasar Zaadul Ma'ad)

Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah pula di dalam kitab Majmu'nya (jilid 1, ms. 7): Imam al-Syafi'i dan rakan-rakannya mengatakan: "Untuk melaksanakan solat `Ied al-Fithri dan `Ied al-Adha dianjurkan mandi. Tidak ada perbezaan pendapat di dalam masalah ini."

Tatacara mandi sunat di pagi Hari Raya ini adalah sama dengan tatacara mandi wajib (janabah).

4. Makan sebelum pergi menunaikan solat Aidilfitri.

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

5. Memakai pakaian yang indah.

Menurut Ibnu Hajar: Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, sampai kepada Umar bahawa Ibnu Umar pakaiannya paling cantik di Idul Adha. (Lihat: Fathul Bari 2/439)

Imam asy-Syafie r.h berkata: "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Berkata Imam Malik rahimahullah: Aku mendengar ulama menganggap sunnah untuk memakai wangi-wangian dan berhias pada setiap Hari Raya. (Lihat: al-Mughni. 2/228)

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan atau wangian yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.

6. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

7. Mengikuti jalan berbeza ketika pergi dan kembali dari solat hari raya.

Disunnahkan bagi kita mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat `Ied.

Jabir bin `Abdullah radhiallahu 'anh berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melalui jalan yang berbeza pada hari `Ied. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 986)

8. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah: Solat Hari Raya hukumnya fardu ‘ain bagi setiap individu sebagaimana ucapan Abu Hanifah (Lihat: Hasyiyah Ibnu Abidin. 2/166) dan selain beliau. Ia juga pendapat Imam Syafie dan salah satu dari pendapat mazhab Ahmad. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Pendapat yang menyatakan fardu kifayah tidak berasas. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak pernah meninggalkannya walaupun sekali. Baginda memerintahkan semua manusia mengerjakannya, sehingga para wanita yang merdeka, para gadis pingitan dan wanita haid dianjurkan ke musalla (tanah lapang tempat dikerjakan solat ied). (Lihat: Al-Mau’idah al-Hasanah 42-43. Siddiq Hasan Khan Sailul Jarar. 1/315. Syaukani)

9. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri.

"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

1 comment:

Abi Al-Baihaqi (RKA) said...

salam chudane... semoga sihat selalu...

artikel yang sangat baik, dah lepas raya baru dapat baca... insyaALLAH akan dipraktikkan di Syawal yg akan datang...